Monday, July 26, 2010

Minggu 2 : Jurnal Refleksi

Kursus muzik tradisional Malaysia ini sememangnya telah memberi pendedahan baru kepada saya kerana sebelum ini, muzik yang saya kaji ialah muzik barat. Oleh itu, melalui kursus ini, saya telah mempelajari banyak perkara yang baru yang tidak saya ketahui sebelum ini.


Dalam kuliah minggu ke-2 ini, saya telah mempelajari tentang 5 perkara baru dalam muzik tradisional Malaysia. 5 perkara ini ialah soundscape, budaya muzik, sejarah, kategori alat muzik dan konsep/struktur. Melalui pemahaman saya, soundscape merupakan kombinasi bunyi persekitaran yang kita dengar melalui pancaindera kita. soundscape terdiri daripada bunyi-bunyi akustik persekitaran yang semulajadi seperti tiupan angin, aliran air, kicauan burung dan sebagainya. Selain itu, bunyi-bunyi buatan manusia juga boleh menjadi soundscape sekiranya ia disusun dan mempunyai karakternya yang tersendiri.








Soundscape Music Festival I-dents from Robin Awan on Vimeo.



Terdapat pelbagai jenis budaya dalam muzik di Malaysia. Oleh sebab populasi kaum yang pelbagai di negara ini, maka pelbagai jenis muzik wujud di Malaysia dan setiap kaum mempunyai budaya muziknya yang tersendiri yang lain daripada yang lain. Budaya setiap kaum biasanya diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Dengan ini, budaya sesuatu kaum dapat dikekalkan sehingga generasi yang akan datang dan tidak akan dilupakan. Oleh sebab budaya bagi setiap kaum adalah berlainan, maka muzik yang dicipta oleh mereka juga berlainan dan mempunyai ciri keistimewaan mereka yang tersendiri. Malaysia merupakan sebuah negara yang bertuah kerana terdapat banyak jenis budaya yang boleh kita lihat di negara ini dan yang istimewanya, kesemua kaum dengan budaya yang berlainan ini boleh hidup bersama di dalam satu negara secara aman dan damai. Perkara ini merupakan suatu kebanggaan bagi kita sebagai rakyat Malaysia.





Dari aspek sejarah pula, muzik tradisional di Malaysia sebenarnya telah mendapat pengaruh daripada muzik-muzik di luar negara. Contohnya muzik Gamelan dari Indonesia. Muzik-muzik ini telah dibawa masuk ke Malaysia pada zaman dahulu oleh pedagang-pedagang dari luar negara yang datang berdagang di Malaysia terutamanya di Melaka. Pedagang-pedagang yang datang ke Malaysia ini terdiri daripada pedagang-pedagang dari India, Thailand, Indonesia, Arab, Barat dan lain-lain. Sebab inilah yang menyebabkan wujudnya pelbagai jenis muzik tradisional di Malaysia.


Terdapat 4 kategori dalam pengklasifikasian alat muzik. 4 kategori ini adalah kordofon, membranofon, aerofon dan idiofon. Kordofon merupakan alat muzik yang mempunyai tali yang seterusnya akan menghasilkan bunyi apabila tali digesek atau dipetik. Contoh alat muzik kordofon ialah viola, er hu, sape dan lain-lain. Membranofon merupakan alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui paluan atau tegangan pada permukaan kulit atau membran. Contoh alat muzik membranofon ialah gendang. Aerofon pula menghasilkan bunyi apabila udara ditiup masuk ke dalam alat muzik seperti seruling, recorder, flut dan sebagainya. Alat muzik idiofon pula berbunyi apabila rangka badannya bergema. Contoh alat muzik idiofon ialah xylophone.



Terdapat lima struktur/konsep dalam muzik iaitu melodi, ritma/meter, harmoni, bentuk/form, notasi dan ekspresi. Melodi merupakan gabungan pelbagai pic yang berlainan. Ritma merupakan rentak bagi sesebuah lagu dan ritma tidak mengandungi pic. Harmoni pula merupakan bunyi yang dihasilkan melalui gabungan pelbagai ton muzik di mana kord dimainkan bersama. Bentuk muzik pula merupakan frasa-frasa dan unsur pengulangan dalam sesebuah muzik. contohnya bentuk ABA, AABB, AABA dan sebagainya. Notasi pula merupakan bahasa muzik di mana simbol-simbol bertulis digunakan bagi menunjukkan pic dan "note value" bagi sesebuah melodi. Akhir sekali, ekspresi. Ekspresi amatlah penting dalam muzik bagi menunjukkan mood dan unsur-unsur perasaan dalam sesebuah lagu. Dinamik merupakan contoh ekspresi yang terdapat dalam sesebuah lagu.


Kuliah pada minggu ini merupakan asas kepada apa yang akan dipelajari pada minggu akan datang. Oleh itu, adalah penting untuk kita menguasai kuliah pada minggu ini dengan baik.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 WONG SOON EN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template