Friday, August 27, 2010

minggu 7 : jurnal refleksi

Tahniah diucapkan kepada kumpulan pembentangan 1 & 2 bagi kuliah hari rabu. Pembentangan yang sangat menarik dan saya telah mendapat banyak input daripada pembentangan ini. Walaupun saya telah terdedah kepada muzik keroncong dan kuda kepang sebelum ini, tetapi melalui pembentangan daripada kedua-dua kumpulan ini, barulalah saya sedar bahawa rupa-rupanya terdapat banyak lagi perkara yang saya tidak tahu mengenai kedua-dua jenis muzik tradisional ini.
Kumpulan keroncong telah membuat satu persembahan yang sangat baik. Melalui keseluruhan pembentangan mereka, dapat kita tengok bahawa mereka telah membuat persediaan yang sangat baik yang lengkap dengan persembahan powerpoint, video-video dan juga demonstrasi-demonstrasi alat muzik. Selain itu, isi-isi yang dibentangkan adalah begitu padat dan lengkap sekali. Dari segi kajian lapangan mereka pula, video-video yang telah dirakamkan adalah begitu baik sekali. Boleh dikatakan mereka merupakan sebuah kumpulan yang amat bertuah kerana mereka boleh menjalankan kajian lapangan mereka di UPSI yang lengkap dengan kumpulan ensembel keroncong yang merupakan antara yang terbaik di Malaysia. Dengan itu, mereka tidak perlu pergi tempat yang jauh. Kita harus berterima kasih kepada pemain-pemain keroncong di UPSI ini. Mereka memang telah mengharumkan nama UPSI di Malaysia dan memberi banyak ilmu kepada kita melalui rakaman video yang dijalankan. Selain itu, para pembentang bagi kumpulan ini merupakan pembentang-pembentang yang baik dan bercirikan seorang guru. Saya yakin bahawa mereka boleh menjadi guru yang baik apabila mereka keluar dari UPSI nanti. Mereka juga telah menunjukkan usaha mereka untuk membawa alat-alat muzik dan mendemonstrasikannya supaya kita lebih memahami fungsi setiap alat tersebut. Ini merupakan satu usaha yang wajar diikuti. Namun begitu, terdapat juga kelemahan yang wujud dalam pembentangan kumpulan ini. Yang pertamanya, video-video tidak dilinkkan dengan baik dan menyebabkan wujudnya masalah teknikal semasa pembentangan. Selain itu, sesetengah pembentang tidak pasti tentang susunan slide dan video pembentangan mereka dan masih bertanya antara satu sama lain sewaktu pembentangan dijalankan. Yang ketiga ialah kemusykilan atau persoalan yang saya hadapi sepanjang pembentangan ini. Persoalan saya ialah tentang "range" instrumen dalam ensembel keroncong. Saya berasa ragu-ragu dengan "range" yang telah dibentangkan oleh kumpulan ini kerana dalam pengetahuan saya, "range" instrumen bagi alat tersebut adalah lain daripada yang dibentangkan oleh kumpulan ini. Akhir sekali adalah tentang masa. Kumpulan ini tidak dapat membentangkan pembentangan mereka dalam masa yang telah ditetapkan. Mereka mengambil masa yang terlalu lama. Masa merupakan satu aspek yang sangat penting yang perlu diambil perhatian dalam sesuatu pembentangan. Oleh itu, saya berharap kumpulan-kumpulan pembentangan yang akan datang akan menghabiskan pembentangan mereka dalam masa yang ditetapkan.
Kumpulan kuda kepang juga telah menjalankan pembentangan mereka dengan baik. Tahniah diucapkan kepada mereka atas kajian lapangan mereka yang begitu baik sekali dan mereka sanggup pergi jauh ke Batu Pahat, Johor untuk membuat kajian mereka. Ini merupakan satu usaha yang harus diikuti oleh kumpulan pembentangan yang lain. Perkara yang saya sanjung tentang kumpulan ini ialah hampir semua ahli-ahli kumpulan ini datang daripada pelajar-pelajar bukan muzik dan hanya seorang daripada mereka sahaja yang merupakan pelajar muzik. Kita boleh mempelajari usaha-usaha mereka yang begitu berminat sekali dan sanggup bekerja keras untuk membuat pembentangan yang agak sempurna ini walaupun mereka bukan pelajar muzik. Melalui pembentangan daripada kumpulan ini, banyak perkara baru yang saya telah pelajari. Kesemuanya adalah melalui kajian lapangan yang telah dijalankan. Oleh itu, kajian lapangan adalah sangat penting untuk setiap kumpulan bagi mendapatkan lebih banyak lagi maklumat untuk melengkapkan lagi isi-isi pembentangan. Walaupun pembentangan kumpulan ini agak boring pada mulanya, namun, ia berjaya menarik balik perhatian saya pada akhirnya dan banyak input yang telah saya dapat daripada pembentangan kumpulan ini.
Saya sangat berterima kasih kepada En. Amran kerana telah memberi tugasan seperti ini kepada kami. Melalui tugasan-tugasan seperti inilah kami dapat mendapat lebih banyak lagi ilmu pengetahuan tentang muzik tradisional di Malaysia. Walaupun dalam proses mencari bahan dan menyediakan isi-isi pembentangan adalah begitu susah dan letih, namun adalah sangat berbaloi kepada kami semua kerana dengan cara beginilah kami dapat mendapat input yang banyak. Saya sangat seronok dalam kelas pembentangan ini dan saya amat menanti-nantikan pembentangan kumpulan lain pada hari Rabu akan datang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 WONG SOON EN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template