Monday, August 9, 2010

Minggu 4 : Jurnal Refleksi

Wayang kulit merupakan suatu seni yang sukar difahami sekiranya kita tidak mengkajinya dengan betul-betul. Dahulu, sewaktu saya kecil, saya tengok persembahan wayang kulit yang disiarkan dalam televisyen dengan penuh perasaan pelik. Saya berasa pelik mengapa patung itu boleh bergerak dengan sendiri. Namun, apabila saya semakin besar, saya merasakan wayang kulit ini merupakan sesuatu yang sangat memboringkan dan tidak bermakna kerana semuanya adalah semata-mata bayang-bayang sahaja. Sehinggalah sekarang apabila saya mempelajari tentang wayang kulit ini. Barulah saya terasa keunikan wayang kulit ini dan keseronokan menonton persembahan wayang kulit ini.



Wayang kulit merupakan salah satu jenis muzik tradisional yang mendapat pengaruh dari India. Wayang kulit merupakan muzik yang menceritakan tentang epik-epik dan isu semasa. Wayang kulit ini juga dipersembahkan dalam pelbagai jenis bahasa. Persembahan wayang kulit ini mengutamakan teknik cahaya dan bayangan.

Dalam suatu persembahan wayang kulit, Tok Dalang merupakan ketua bagi sesebuah kumpulan wayang kulit. Dalanglah yang menceritakan sesebuah cerita wayang kulit dengan mengubah-ubah ton suaranya untuk watak-watak yang berbeza dalam sesuatu persembahan tersebut. Persembahan wayang kulit ini juga diiringi dengan satu orkestra muzik tradisional di mana lagu-lagu yang dimainkan adalah bergantung kepada penceritaaan Tok Dalang. Biasanya muzik yang dimainkan adalah dalam bentuk muzik Gamelan. Seni lukis dan seni ukir yang dilakukan ke atas patung-patung wayang kulit ini haruslah disanjungi. Mengukir dan Melukis patung-patung tersebut bukanlah sesuatu perkara yang senang dilakukan. Ia memerlukan kemahiran dan tahap kesabaran yang tinggi.

Dahulu, mengikut pengetahuan saya, wayang kulit itu hanyalah sejenis sahaja. Sekarang, barulah saya sedar bahawa wayang kulit boleh dipecahkan kepada beberapa jenis yang berlainan lagi. Yang saya tahu sekarang, terdapat 4 jenis wayang kulit yang berbeza iaitu Wayang kulit Jawa, Wayang Gedek, Wayang kulit Melayu dan Wayang kulit Kelantan. Mungkin terdapat lagi jenis wayang kulit lain yang saya tidak tahu. Sekiranya saudara/saudari tahu mengenainya, bolehlah berkongsi bersama-sama dengan saya di ruangan komen.


Wayang Kulit Kelantan




Mengapakah boleh wujud pelbagai jenis wayang kulit yang berlainan sedangkan semuanya berasal daripada satu kumpulan yang sama? Sekiranya difikirkan persoalan ini, kita boleh memikirkan bahawa manusia memang satu ciptaan Tuhan yang sangat baik dan sempurna. Manusia dibekalkan dengan daya pemikiran dan kebolehan untuk berfikir inilah yang membezakan manusia dengan haiwan. Manusia boleh menvariasikan wayang kulit ini dari satu jenis yang sama. Melalui daya pemikiran yang kreatif dan inovatif inilah wujudnya pelbagai jenis persembahan wayang kulit yang berbeza.

Di sini, saya ingin merumuskan tentang persamaan dan perbezaan antara jenis-jenis wayang kulit yang terdapat di dunia ini. Dari segi bentuk patung, Wayang Kulit Jawa dan Wayang Kulit Melayu adalah sama di mana ia mendapat pengaruh dari Jawa, kedua-dua sendi patung tersebut bergerak, kedudukan patung adalah mengiring, dan ia mengekalkan ciri asal berpakaian. Perkara yang membezakan Wayang Kulit Jawa dan Melayu ialah dari segi alat muzik yang digunakan untuk mengiringi persembahan wayang kulit tersebut. Bagi Wayang Kulit Jawa, muzik yang mengiringi dihasilkan dengan set Gamelan Jawa sahaja manakala Wayang Kulit Melayu pula diiringi dengan variasi alat-alat muzik seperti gong, canang, mong, kesi, gendang, dan rebab. Wayang Gedek dan Wayang Kulit Kelantan mempunyai persamaan dari segi pengaruhnya dari Siam, mengekalkan ciri asal berpakaian dan hanya satu sendi daripada patungnya bergerak. Namun, kedudukan patung wayang gedek adalah menghadap manakala patung wayang kulit kelantan adalah mengiring. Alat muzik yang digunakan dalam persembahan wayang gedek ialah serunai, geduk, gedombak, canang, kesi kecil dan cing. Bagi wayang kulit Kelantan pula, alat muzik yang digunakan adalah tetawak, canang, kesi, gedang, geduk, gedombak, mong, serunai dan pemetek.

Setiap jenis wayang kulit mempunyai tarikannya yang tersendiri. Oleh itu, marilah kita sama-sama menikmati keindahan seni muzik yang terdapat dalam wayang kulit ini.





3 comments:

LinkWithin

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 WONG SOON EN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template